Saturday, December 6, 2008

Bayang Campurtangan Amerika Durjana 1


MEMAHAMI serangan pengganas di Mumbai yang mengorbankan hampir 200 nyawa pada 27 November lalu, ia merupakan isyarat jelas yang cuba disampaikan oleh kumpulan pengganas terhadap kewujudan mereka dalam entiti geo-politik negara, rantau dan antarabangsa.

Serangan yang turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia itu juga ditujukan ke atas kepentingan Barat, Yahudi dan Kristian sebagai strategi untuk meninggalkan kesan yang besar dalam politik antarabangsa daripada liputan meluas media massa yang diterima.

Daripada perspektif kumpulan pengganas sendiri sama ada yang berpangkalan di India atau Pakistan, serangan itu merupakan satu percubaan untuk mencapai matlamat membentuk kerajaan dan negara mengikut kefahaman masing-masing.

Ia juga boleh dikaitkan dengan perjuangan agama yang mana kedua-dua kumpulan yang dituduh bertanggungjawab iaitu Deccan Mujahiddin dan Laskhar-e-Taiba mempunyai kaitan dengan perjuangan Islam.

Dengan sasaran terhadap kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan Barat serta kumpulan Yahudi, serangan kumpulan itu turut dilihat sebagai perjuangan menentang cengkaman dan penindasan Barat terhadap negara dan dunia Islam.

Apa pun sesuatu yang pasti, serangan pengganas di Mumbai itu telah mempengaruhi hubungan diplomatik India-Pakistan dan membawa dimensi baru kepada perhubungan yang sudah sedia keruh antara kedua-dua buah negara.

Baik India dan Pakistan, menanggapi episod keganasan itu dengan saling menuding kepada kumpulan pengganas yang bertapak di negara masing-masing sebagai pihak yang bertanggungjawab.

0 comments: