Thursday, September 30, 2010

Kurang tidur boleh menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca

Bijak Memanfaat Pusingan Biologi

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.” (al-Furqaan : 47)

Terjemahan ayat di atas menjelaskan bahawa tubuh badan manusia mempunyai sistemnya yang tersendiri yang dikenali sebagai pusingan biologi atau biological rhythm. Sistem inilah menyebabkan kita mengantuk dan kurang bertenaga pada waktu malam dan cergas pada waktu siang. Ia dikawal oleh hormon-hormon. Justeru itu, kita perlu memahami cara sistem ini bekerja dan bijak memanfaatkannya.


Memahami Fisiologi Pusingan Biologi

Pada waktu malam, badan manusia melalui kelenjar pineal, akan mengeluarkan sejenis hormon yang bernama melatonin. Hormon ini mempengaruhi bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus dan ia menyebabkan kita tidur. Kadar melatonin berada pada tahap optimum dalam darah pada jam 1.30 pagi hingga 2.00 pagi semasa tidur. Selepas itu, kadarnya menurun dan ia berada pada tahap paling rendah apabila bangun daripada tidur pada jam 6.00 pagi.


Pada waktu siang pula, hormon kortisol mempengaruhi kita semasa kita aktif melakukan pelbagai aktiviti. Hormon ini berfungsi melajukan jantung dan pernafasan pada waktu siang. Hormon kortisol juga dikenali sebagai hormon stres kerana ia berada pada tahap paling tinggi apabila individu mengalami tekanan.


Daripada sudut pusingan biologi, waktu yang dianggap paling produktif adalah antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Sebaiknya kita melakukan kerja-kerja utama dalam hidup kita pada waktu ini. Selepas itu di antara waktu tengah hari dan awal petang, tubuh kita akan menjadi lesu dan lemah. Para saintis menamakan fasa ini sebagai a secondary sleep gate. Justeru itu, tidurlah sekejap pada waktu ini jika mempunyai kesempatan.



David F.Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka Sleep and Alertness : Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping menggalakkan kita tidur pada waktu tengah hari. Kajian menunjukkan mereka yang secara rutin tidur selama 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit jantung berbanding orang lain. Di sudut agama, tidur sekejap pada waktu tengah hari dikenali sebagai qailulah dan ia pernah dilakukan oleh Nabi SAW.



Selepas itu, kita akan memasuki fasa produktif yang kedua antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Gunakanlah waktu ini untuk membaca dan merancang aktiviti sebelum berehat untuk tidur.



Tidur sebagai Ibadah

Tidur adalah ibadah. Ia perlu dijaga dan dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai ibadah. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menitikberatkan soal tidur sebagai ibadah yang diterjemahkan seperti yang berikut:

“Apabila seseorang kamu mengantuk ketika hendak bersolat maka hendaklah dia tidur sampai dia tahu apa yang dibacanya.”


Semasa tidur sel-sel di dalam badan melalui proses pemulihan yang mana badan manusia akan mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi memperbaiki sel-sel yang rosak Justeru itu mengambil minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur boleh mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada waktu siang.


Penyimpanan maklumat jangka panjang di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Mereka yang suka tidur lewat boleh mengganggu proses penyimpanan maklumat ini. Menurut Penolong Profesor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam boleh menjejaskan pusingan biologi individu dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semula maklumat yang dibaca.


Tidur dapat memantapkan sistem darah dan jantung. Menurut Dr. Tom Mackay, seorang pakar penyakit-penyakit system pernafasan di Pusat Tidur Kebangsaan, Edinburgh Royal Infirmary, Scotland merumuskan, kurang tidur akan menyebabkan beberapa perubahan kimia berlaku dalam badan. Keadaan ini meningkatkan risiko individu menghidap penyakit kencing manis, jantung dan strok.


Tidur juga memantapkan sistem pertahanan badan. Kajian menunjukkan individu yang tidur 3 hingga 4 jam sehari kurang daripada kadar biasa mudah mengalami tekanan dan stres. Ini akan melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikannya mudah dijangkiti kuman. Berapakah jumlah jam yang diperlukan untuk tidur secara optimum pada waktu malam? Keperluan tidur individu berbeza dengan individu yang lain. Mereka yang tidur 6 hingga 7 jam secara purata setiap malam adalah lebih sihat dan hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih dari 8 jam atau kurang 4 jam.


Sunah Nabi dan Pusingan Biologi

Secara tidak langsung, Nabi SAW mengambil kira kehendak pusingan biologi apabila baginda menyuruh para sahabat melayani keperluan badan. Baginda sendiri melayani hak dan keperluan jasmani bertujuan menyihatkan diri sebagai persiapan untuk beribadah. Pernah pada suatu masa, ada di kalangan para sahabat yang tidak mahu tidur dan tidak mahu berkahwin. Ada pula sahabat yang berazam untuk berpuasa secara berterusan.


Lantaran perkara ini, maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.” Hadis ini dijelaskan oleh Bukhari dan Muslim. Nabi SAW juga pernah melakukan qailulah atau istilah para saintis hari ini iaitu a secondary sleep gate. Ini kerana di antara waktu tengah hari dan awal petang badan manusia menjadi lemah dan lesu. Maka dengan tidur sekejap itu akan dapat mengembalikan kesegaran tubuh badan kita.


Penutup

Jasad boleh dikiaskan seperti sebuah kederaan yang sentiasa dipacu oleh manusia. Bagi mencapai kejayaan, manusia perlu menyelenggara kenderaannya dengan baik supaya ia dapat dinaiki demi mencapai cita-cita. Justeru, pastikan kita bangun awal setiap pagi untuk bersembahyang Subuh, sebaik-baiknya secara berjemaah dan jika berkesempatan tidurlah sekejap (lebih kurang 20 minit) pada waktu tengah hari.

Oleh : Shamrifah Dahalan (Panel Penulis Jakim)

Wednesday, September 29, 2010

Cinta Kampus: Matlamat Halalkan Cara

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.

Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga.

Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri.

Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk.

Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku.

Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri.

Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar.

Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif.

Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu 'keperluan' untuk rasa sempurna.

Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri.

Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik.

Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud.

Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?

Matlamat Menghalalkan Cara

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, emel dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan.

Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber'couple' atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala.

Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan?

Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.

Hayati Ajaran Islam Sebenar

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia.

Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang.

Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan.

Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud:

"Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" - Al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan.

Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin.

Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya, jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua'dz ra berdoa sebelum kematiaannya: "Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama".

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala, Ameen.

sumber : iluvislam

Monday, September 27, 2010

Melihat Sejenak Hak-hak Bangsa Melayu

Saya telah dicopkan sebagai anti itu dan ini. Sungguhpun begitu, saya juga dikatakan pro itu dan ini. Saya akan memulakan rencana ini dengan satu penafian, sama seperti yang dilakukan oleh setiap akauntan di dalam laporan mereka. Rencana ini mengandungi tafsiran saya mengenai syarat perlembagaan berkaitan ‘hak-hak’ bangsa Melayu.

Diminta agar ayat seterusnya dibaca dengan teliti. Tiada niat untuk mempersoalkan apa-apa, sama ada hak dan kepunyaan seseorang atau sebaliknya, tanpa menghiraukan bangsa, kepercayaan mahupun pegangan politik.

Hak bangsa Melayu. Sebuah tajuk yang besar.

Satu kupasan kecil tentang tajuk ini sudah memberi begitu banyak makna dari segi emosi. Begitu banyak kemarahan telah tercetus – dari kedua-dua belah pihak – dengan tajuk ini. Tajuk ini telah dikupas oleh Awang Selamat, Mahathir Mohamad, Ibrahim Ali dan dari beberapa badan bukan-kerajaan (NGO) yang lain. Ahli politik Malaysia juga telah bercakap bak berteriak tentang tajuk ini.

Beberapa amaran keras serta ugutan “orang akan mengamok” telah dilaungkan jika ada pihak yang mahu mempersoalkan hak-hak ini. Malah, baru-baru ini Seri Paduka Baginda Sultan Perak telah bertitah mengenai tajuk ini.

Tapi, saya perhatikan bahawa tiada seorang pun daripada 27 juta penduduk Malaysia yang berani untuk menyuarakan apa sebenarnya hak-hak ini. Oleh yang demikian, biarlah saya menjadi orang pertama yang melakukannya.

Di dalam negara ini, undang-undang yang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan. Ia bermaksud setiap undang-undang dan dasar wajib berlandaskan dari Perlembagaan Persekutuan. Apa saja undang-undang dan dasar boleh terbatal atau menjadi tidak sah jika tidak mengikut garisan perlembagaan. Oleh itu, kita perlu melihat kepada syarat undang-undang Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan apa yang dipanggil sebagai hak-hak bangsa Melayu.

Umumnya, Artikel 8 memberi penerangan bahawa setiap seseorang itu adalah sama tarafnya. Saya menyebut ‘umumnya’ kerana terdapat beberapa pengecualian. Fasal 2 di dalam Artikel 8 menyebut, tidak akan wujud diskriminasi ke atas warganegara berkenaan soal agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina kecuali mendapat kebenaran daripada Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, itulah dia. Kita semua adalah sama tarafnya mengikut had yang telah dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini bermaksud kita mungkin didiskriminasi jika Perlembagaan Persekutuan itu dengan nyata meluluskan.

Dipendekkan cerita, Artikel 153 adalah tunjang kepada isu ini. Ia adalah satu artikel yang panjang dengan 10 fasal di dalamnya. Pada dasarnya, inilah yang telah disebut di dalam Artikel 153.

Pertama, disebut bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk melindungi ‘kedudukan istimewa’ bangsa Melayu dan penduduk asal Sabah Sarawak. Perhatikan perkataan ‘kedudukan istimewa’ yang digunakan, bukannya ‘hak istimewa’.

Lihat juga kepada perkataan ‘melindungi’, bukan sahaja termaktub kepada bangsa Melayu tetapi penduduk asal Sabah Sarawak (Bumiputera). Bukan itu sahaja, ia juga turut menyebut, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi hak dan kepentingan masyarakat yang lain. Fahami perbezaan apa yang mahu dilindungi. Bagi mereka yang berbangsa Melayu dan Bumiputera sudah termaktub kedudukan istimewa mereka. Sementara itu, bagi menghormati masyarakat yang lain, itu adalah kepentingan yang berhak mereka terima.

Pada ketika ini, kita perlu fahami apa itu Melayu. Artikel 160 menerangkan Melayu adalah mereka yang menganuti agama Islam, dan berbicara menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat-adat orang Melayu. Ianya bukan satu definisi saintifik. Ia merupakan salah sebuah definisi yang paling kabur pernah saya temui.

Bagaimanakah caranya untuk menakrifkan seseorang itu adalah Melayu dan berbicara menggunakan bahasa Melayu serta mengamalkan adat-adat orang Melayu apabila perkataan yang perlu ditakrifkan adalah ‘Melayu’? Ianya seperti mendefinasikan sebiji buah mangga sebagai sebiji buah yang rasanya seperti buah mangga. Namun menyimpang sudah saya ini.

Di bawah Artikel 153, Yang Dipertuan Agong diberikan kuasa untuk:

*
Melaksanakan fungsi baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang dilihat perlu untuk melindungi kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera;
*
Memastikan Bangsa Melayu dan Bumiputera mempunyai kedudukan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pameran, dan beberapa keistimewaan dari segi pendidikan dan latihan berkaitan yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan dengan kadar yang difikirkan oleh baginda sebagai berpatutan.
*
Memastikan bangsa Melayu dan Bumiputera mempunyai ruang untuk memperolehi permit dan lesen jika permit dan lesen diperlukan untuk operasi memulakan perdagangan atau perniagaan jika itu yang difikirkan oleh baginda sebagai berpatutan; dan
*
Memastikan ruang untuk bangsa Melayu dan Bumiputera berada di dalam universiti, kolej, dan mana-mana institut pendidikan selepas tamat MCE atau yang setara [Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)] atau pembahagian mengikut nisbah yang munasabah berdasarkan kepada fikiran baginda jika jumlah mereka yang layak untuk menyambung pendidikan adalah lebih besar jumlahnya daripada tempat yang disediakan.



Selebihnya di dalam Artikel 153 adalah berkaitan dengan larangan agar tidak melucutkan lesen atau permit dari mereka yang bukan berbangsa Melayu atau yang bukan bumiputera jika mereka telah memiliki lesen dan permit. Tetapi perbincangan ini sudah pun menjangkaui daripada skop rencana ini.

Perkara yang paling utama yang harus diberikan perhatian dari syarat undang-undang ini adalah fakta di mana tidak terdapat apa-apa bentuk hak diperuntukkan bagi bangsa Melayu dan Bumiputera. Syarat undang-undang tidak menyatakan, sebagai contohnya, “bangsa Melayu atau Bumiputera dari Sabah Sarawak akan diberikan ruang sebanyak 75% di dalam universiti, kolej dan institut pendidikan tempatan ataupun 65% untuk semua biasiswa sudah tersedia di Malaysia setiap tahun”.

Apabila kita bercakap mengenai ‘hak’, kita bercakap mengenai hak yang dimiliki oleh seseorang. Hak-hak ini seterusnya akan dikuatkuasakan oleh undang-undang.

Berasaskan contoh yang telah saya berikan sebelum ini, maka bolehlah satu tindakan berkumpulan (‘class action’) untuk melaksanakan hak-hak seumpama ini diangkat oleh mereka yang berbangsa Melayu dan Bumiputera jika hak-hak mereka ini dirasakan telah disekat. Tindakan ini boleh diambil jika syarat undang-undang di dalam Perlembagaan Persekutuan telah termaktub sedemikian.

Walau bagaimanapun, ini bukan soalnya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diberikan adalah kuasa kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyediakan lesen, permit, biasiswa, ruang di dalam universiti atau kedudukan di dalam sektor perkhidmatan awam untuk bangsa Melayu dan Bumiputera di dalam bahagian tertentu yang difikirkan baginda sebagai berpatutan.

Kuasa yang dimiliki oleh Tuanku tidak boleh dipertikai. Ia boleh ditakrifkan secara jelas. Namun begitu, pada hemat saya Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan bidang kuatkuasa kepada pelaksanaan hak ini.

(The Federal Constitution however, in my humble opinion, stops short from conferring any enforceable right).

Perkara lazim yang akan dipersoal adalah bagaimana Yang Dipertuan Agong melaksanakan kuasa baginda. Jawapan untuk soalan ini terdapat di dalam Fasal (2) daripada Artikel 153. Fasal (2) menyebut kuasa Yang Dipertuan Agong akan dilaksanakan selaras dengan Artikel 40. Bermaksud, ‘kuasa’ yang dianugerah kepada Yang Dipertuan Agong di dalam Artikel 153 tidak boleh dilaksanakan hanya mengikut pertimbangan baginda sahaja.

Kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan atas nasihat dari kabinet atau menteri yang bertindak di bawah kuasa umum kabinet. Mengikut persetujuaan, orang yang disebutkan itu adalah Perdana Menteri.

Yang Dipertuan Agong juga tidak berkuasa untuk menentukan sebarang ‘simpanan’ atau rizab untuk bangsa Melayu dan Bumiputera. Pada terasnya, adalah kerajaan melalui keputusan kabinet yang melakar dasar tentang bagaimana kuasa ini akan digunakan.

Kebiasaannya, barisan kabinet akan menentukan kriteria untuk sebarang ‘simpanan’ dan juga berkenaan hal-hal yang disebut di dalam Artikel 153. Ini bermaksud, bukan Umno sahaja yang membuat keputusan [walaupun pada hakikatnya mungkin Umno yang memutuskan segalanya] selama ini. Ianya sepatutnya diputuskan oleh Barisan Nasional secara keseluruhannya, bermaksud perkara ini telah diputuskan oleh Umno, MCA, MIC dan semua parti komponen di dalam BN.

Pada masakini, berbagai persoalan timbul, bagaimana pelajar yang mempunyai gred yang lemah diterima masuk ke dalam universiti sedangkan pelajar (bukan Melayu) yang mempunyai gred yang tinggi tidak boleh melanjutkan pelajaran ke universiti. Persoalan yang sama timbul di mana pengagihan kontrak daripada kerajaan dan juga tuntutan untuk sebarang peratusan pegangan saham Melayu di sesebuah syarikat.

Di pihak kerajaan, persoalan ini dipandang remeh. Persoalan ini dianggap sebagai mencabar hak orang-orang Melayu. Banyak sekali retorik. Kedengaran jeritan “pendatang tidak mengenang budi”. Terdapat juga teguran bahawa untuk mempersoalkan hal ini adalah seperti mempersoalkan kuasa pemerintah di bawah Artikel 153 – ia dirujuk daripada ‘kontrak sosial’.

Pada hemat saya, ini telah disalahertikan. Tiada siapa yang mahukan supaya kuasa Yang Dipertuan Agong di bawah Artikel 153 ditarik balik. Saya fikir lebih tepat apa yang dipersoalkan adalah dasar di mana menunjukkan perlaksanaan kuasa itu dan bukannya merujuk kepada wujudnya kuasa itu sendiri.

Perlu diberi perhatian, Artikel 153 berulang kali menyebut Yang Dipertuan Agong akan melaksanakan kuasa baginda berdasarkan apa yang difikirkan baginda berpatutan. Barangkali, ‘berpatutan’ itu adalah kunci utama.

Kita hanya berpura-pura mempunyai sebuah kerajaan berdemokrasi dan sistem politik demokratik.

Jika itu benar, pasti dasar kerajaan, terutamanya yang menyentuh hak asasi rakyat, seperti hak untuk mendapatkan pendidikan untuk semua warganegara, boleh dibawa berbincang, dianalisa dan juga boleh dipersoal. Dan pastinya, sebuah kerajaan yang baik, yang mementingkan rakyat dan negara tidak akan menangkis soalan tersebut tanpa prihatin.

Kalau betul begitu, saya rasa rakyat boleh memberikan kesan perubahan kepada pendekatan acuh tak acuh ini dengan mengubah ataupun menggantikan para penggubal dasar dengan golongan lain.

______________________

Hasil Nukilan : Art Harun (Art Harun adalah seorang peguam dan juga kolumnis CPI)

Tuesday, September 7, 2010

Malaysia Book Of Record 2010

Sempena Meraikan Sambutan Bulan Kemerdekaan, Pihak MPP UPSI telah melaksanakan satu Program Malaysia Book Of Record dimana satu logo 1Malaysia Dihasilkan dengan mengunakan kertas surat khabar.Seramai 200 orang peserta telah bertungkus lumus dalam menyiapkan logo ini selama 3 hari berturut-turut.Akhirnya logo yang menjadi kebangggan ini berjaya disiapkan pada 29 Ogos 2010.Program ini merupakan program terakhir yang disertai saya sepanjang saya memegang jawatan sebagai jawatan Yang Dipertua Sekretariat Rukun Negara.Semoga segalanya dipermudahkan.





Majlis Berbuka Puasa Bersama JPNIN Putrajaya

Satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Pihak Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diadakan di UPSI pada 20 Ogos 2010.Majlis Berbuka Puasa ini merupakan program anjuran SRN UPSI.Majlis Berbuka Puasa ini dihadiri oleh Puan Hajah Azizah (Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN Putrajaya, Pn Norihan (Pengrah Bahagain Pembangunan Komuniti JPNIN Putrajaya, Wakil-wakil Jabatan Hal Ehawal Pelajar& alumni dan juga Wakil-wakil daripada JPNIN Perak.

Majlis ini berjaya mengumpulkan hampir kesemua ahli SRN di UPSI.Program ini sedikit sebanyak memberi penghargaan dan suntikan semangat kepada pihak SRN UPSI kerana terpilih sebagai satu-satunya IPT yang mendapat peruntukan khas daripada JPNIN Putrajaya sebanyak RM10000.Peruntukan ini diperuntukan atas komitmen dan juga prestasi yang telah ditunjukan oleh SRN sepanjang penubuhan di UPSI.

Sepanjang majlis ini saya sempat membincangkan beberapa usahasama dan cadangan kepada pihak JPNIN dalam merencana agenda perpaduan negara.Selain itu, beberapa isu mengenai SRN IPT turut dibincangkan dalam pertemuan ini.Dan yang paling membanggakan SRN UPSI diberi tangungjawab untuk menjadi Tuan Rumah Untuk menguruskan Baktisiswa SRN peringkat Kebangsaan dan peruntukkan yang diperuntukkan sebanyak RM125 ribu ringgit.

Berikut beberapa gambar sepanjang majlis.



Kempen Cintai Rukun Negara

Sekretariat Rukun Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris (SRNUPSI) telah mengadakan satu program Kempen Cintai Rukun Negara pada 18-20 Ogos 2010. Kempen tersebut bertujuan untuk menyemai semangat cintaikan negara disamping menghayati konsep Rukun Negara dan 1 Malaysia. Kempen Cintai Rukun Negara ini juga dilaksanakan sempena bulan kemerdekaan negara yang ke-53 tahun. Oleh itu, semangat cintakan negara kita amat perlu bagi menjamin kesejahteraan kita bersama. .Program Kempen Cintai Rukun Negara merupakan antara beberapa program terakhir yang dipantau oleh saya sebagai Yang Dipertua Sekretariat Rukun Negara.Terdapat beberapa aktiviti yang menarik bagi melibatkan mahasiswa/wi untuk menjayakan kempen tersebut






Field Trip Kuala Gandah & Deerland Park

Field Trip merupakan satu daripada pendekatan pembelajaran yang digunapakai dalam subjek fisiologi haiwan.Pada semester ini, satu kajian lapangan ke Kuala Gandah dan Deerland Park telah diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada mahasiswa/i yang mengambil subjek ini merasai persekitaran dan skop sebenar subjek ini diluar daripada bilik darjah.Kajian lapangan sebegini dilihat sangat membantu dalam menambahkan minat pelajar dalam subjek yang dipelajari disamping menbantu proses pemikiran pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis.




Projek Amal Sains Alam Sekitar

Projek Amal Sains Alam Sekitar merupakan salah saru program yang telah direncana oleh pelajar subjek Sains Alam Sekitar pada semester ini.Projek ini dikelolakan oleh 11 orang mahasiswa dimana, pelaksana prorgram ini terdiri daripada 9 perempuan dan 2 orang lelaki.Dalam projek amal ini saya telah dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Program dan dibantu oleh rakan-rakan pelaksana yang tidak putus-putus memberikan buah fikiran yang bernas dalam menjayakan projek ini.Matlamat projek amal ini adalah bertujuan untuk mendekatkan mahasiswa kearah kehidupan bermasyarakat dan seterusnya menyemai nilai-nilai kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar kepada nak-anak di rumah kebajikan.








Perhimpunan Bitara SRN

Perhimpunan Bitara SRN merupakan salah satu program yang julung-julung kali diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.Perhimpunan Bitara SRN ini diadakan bertujuan untuk mengumpulkan semua ahli SRN di bawah satu bumbung dan seterusnuya memperjelaskan kembali matlamat penubuhan SRN di kampus-kampus IPT.

Sebagai Yang Dipertua SRN UPSI, saya terlah dipertanggungjawabkan untuk membentangkan segala matlamat dan pencapaian yang telah dicapai SRN sepanjang penubuhannya di UPSI.Walaupun SRN masih baru di UPSI, namun kini SRN UPSI telah menjadi antara Persatuan/Kelab terbaik Di UPSI.Dalam perhimpunan ini, secara rasminya SRN telah melancarkan satu konsep baru dalam SRN iaitu mewujudkan perpaduan di UPSI melalui penghayatan budaya kekeluargaan.Kini SRN UPSI dalam proses mewujudkan satu Family SRN, dimana matlamat akhirnya adalah menerapkan perpaduan di seluruh warga kampus UPSI.